Sidang Ilmu Pusat Kebudayaan USIM 2015
SEMPENA WACANA PENCERAHAN
GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM 2015
Kertas Kerja
Sidang Ilmu Pusat Kebudayaan
USIM 2015
SEMPENA WACANA PENCERAHAN
GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM 2015
MEREKONSTRUKTIF
PERSEPSI: SENI MEMBANGUNKAN INTELEKTUALITI MANUSIA
Oleh:
Ismail Ahmed
Pengarah Pusat Kebudayaan
Universit Sains Islam
Malaysia
Pengenalan Kepada Perspektif : Seni Dalam Konteks Hiburan
Dalam masyarakat Islam samada di tanah Arab mahupun di Malaysia,
apabila ditafsirkan hiburan maka bidang atau disiplin yang selalu dirujuk adalah
nyanyian, tarian dan muzik. Walaupun hiburan mempunyai konteks yang luas, namun
kaitan bidang lain yang juga merujuk kepada elemen hiburan agak kurang
diendahkan dan selalunya terarah kepada muzik, tarian dan nyanyian. Namun sejak
akhir- akhir ini, seni visual juga mula dirangkum sekali dalam konteks makna
hiburan. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, definisi hiburan bermaksud
sesuatu perkara atau perlakuan yang menggembirakan atau menghiburkan hati
manusia. Konteks hiburan sangat luas meliputi banyak perkara dan perbuatan yang
lain seperti memandu dengan laju, berlumba di jalanraya, berburu binatang hatta
menonton perlawanan bolasepak yang sering ke udara di televisyen atau apa saja
perbuatan yang membuatkan hati kita teruja dan terhibur. Persoalannya
mengapakah apabila merujuk kepada perbuatan yang sia- sia dan lalai maka
hiburan ditujukan hanya kepada nyanyian, tarian dan muzik ? Penjelasan
bagaimana bermulanya persepsi ini mungkin kita boleh mengaitkannya dengan perspektif
apa yang dipanggil ‘arabisasi’ atau pengaruh arab yang membayangi persepsi
makna hiburan itu sendiri.
Pada zaman pra- Islam sekitar 632 selepas Masihi, bangsa
Arab yang dikenali sebagai Arab Jahiliyyah telah mempunyai satu bentuk sistem
berhibur yang kebanyakkannya tertumpu di Semenanjung Arab. Petikan di dalam
buku The Music of the Arabs
menjelaskan:
The musical life
of the jahiliyyah was defined by the qaynah, a singer and servant in one, whose
duties, besides singing and performing, also included pouring wine and
providing others sensual pleasures.The task of the qaynah was to entertain the
guest with song, wine, and eroticism (Habib Hassan Touma,1996:2).
Hiburan pada zaman Arab Jahiliyyah yang terkenal di kota Mecca, Medina, Yamamah, Yemen dan Hadramaut ini juga menurut Habib Hassan
Touma lagi, menunjukkan bahawa qaynah mempunyai ‘kelebihan lain’ yang boleh
ditafsirkan seperti berikut:
Her naked breast
were open to the glances of guests, and she was also receptive to the more
direct advances of her customers (1996:2).
Budaya Arab Jahiliyyah yang mengangkat hiburan dalam bentuk
pengisian yang penuh dengan cara yang mencampurkan-adukkan banyak elemen
negatif seperti tarian yang memberahikan, suara nyanyian perempuan yang
bertujuan menggoda dan membangkitkan nafsu, percampuran lelaki perempuan yang bebas
dan melampau dan disulami dengan arak dan sebagainya telah menimbulkan persepsi
yang tidak sihat terhadap seni khususnya dalam bidang nyanyian, muzik dan
tarian. Imam Malik bin Anas r.a:
menegaskan, beliau melarang nyanyian dan mendengar lagu, katanya:
“Apabila seseorang membeli hamba
sahaya perempuan dan mendapatinya seorang penyanyi, dia boleh memulangkannya
kerana dianggap cacat” (Ibnu al- Jawzi, t.th:229).
Jika diamati, kita dapat melihat mengapakah persepsi terhadap seni
muzik, nyanyian dan juga tarian sangat negatif dikalangan sebahagian para ulama
dan masyarakat Islam termasuk di Malaysia. Persoalannya, adakah agama Islam itu menolak
muzik, nyanyian dan tarian atau sebenarnya Islam mengajak kita menolak budaya
negatif yang disuntik kedalam elemen hiburan tersebut mengikut budaya sesuatu
etnik dan persekitaran setempat seperti zaman Arab Jahiliyyah? Atau adakah adil
jika kita menyamakan persembahan kesenian tradisional atau pelbagai kaum di
universiti atau di Malaysia dengan festival liar atau majlis hiburan arab
jahiliyyah?
Menurut Imam al- Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum al- Din, beliau menjelaskan
bahawa tidak ada keterangan yang jelas daripada Sunnah Rasululah SAW yang
melarang penggunaan alat- alat muzik. Kalimah muzik misalnya tidak dapat
ditemui di dalam Al- Quran dam al- Hadith, walaupun Allah menceritakan di dalam
al- Quran kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S yang memiliki mukjizat yang
berkaitan seni suara, namun istilah muzik gagal ditemui di dalam al- Quran.
Persoalannya, mengapakah kita sangat sensitif untuk mengharamkan seni muzik,
nyanyian dan tarian, sedangkan yang salah dan melalaikan kita adalah perlakuan
dan pengisian yang kita pilih? Merujuk kepada Jurnal Pengurusan dan
Penyelidikan Fatwa Vol. 3: 2014, dalam artikel yang bertajuk Hiburan: Muzik,
Nyanyian, Nasyid Menurut Perspektif Fiqh dan Fatwa 2009:88, Islam telah pun
sempurna dan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah pun selesai
menentukan segala persoalan hukum tanpa perlu ditambah oleh sesiapa pun
walaupun para ulama. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:
“ Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang
disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada- adakan
sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang orang yang berdusta
terhadap Allah tidak akan berjaya” (an- Nahl:116).
Maka, dalam konteks seni sperti muzik, tarian dan nyanyian, tiada
sesiapa yang dapat menentukannya hukumnya baik halal mahupun haram secara
terburu- buru melainkan setelah menilai secara ilmiah hujah- hujah dan dalil-
dalil disamping melihat kandungan dan penyampaian seni tersebut samada membawa
kebaikan atau keburukan.
Mengangkasa Seni Berbudaya
Hari ini dengan pelbagai cabaran yang lahir daripada cabang seni,
bolehkah kita selaku pentadbir seni menyakinkan masyarakat bahawa seni yang
melingkari kamus maknawi kehidupan berupaya menjadikan kita insan yang lebih
mensyukuri dan memahami kepentingan seni dalam kehidupan manusia. Pengertian
seni yang sepatutnya dijulang makna intrinsiknya dan bukan sekadar rupa tanpa
nama atau sekadar penilaian gemilang suapan ekstrinsik sahaja. Apakah komuniti
kampus dan masyarakat Malaysia mempunyai
pengetahuan tentang peri pentingnya seni yang berbudaya atau ringkasnya seni
yang mendatangkan manfaat kepada seluruh penggerak, khalayak, pekerja seni,
masyarakat dan entiti- entiti yang bertanggungjawab sepenuhnya akan perjalanan
seni di Malaysia. Seni yang berupaya membina akar kepada akal yang bergeliga
sehingga mampu menukar yang kosong kepada pengisian dalaman seorang manusia
sehingga mampu merasai hubungan dengan Penciptanya. Seni yang menelusuri akhlak
yang baik dan membetulkan makna duniawi dengan menyeimbangkan pelaburan
ukhrawi. Seni yang mampu mengangkasa sifat- sifat baik yang didalamnya
terkandung segala intipati pengajaran tentang
kemanusiaan yang akhirnya membina tamadun akal khalayaknya.
Kita perlu mengenali seni dalam
konteks budaya yang baik sifatnya. Seni secara definasinya merupakan karya atau
hasil kreatif yang dicipta dengan keindahannya yang tersendiri dengan disiplin-
disiplin kreatif yang berbagai antaranya seperti seni persembahan, seni tampak
dan seni halus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karya seni
ialah sesuatu ciptaan yg mempunyai nilai keindahan dan memberikan kepuasan cita
rasa kepada khalayaknya. Seni yang mempunyai nilai ilmu yang boleh membangunkan
akal budi khalayaknya. Sebenarnya, hasil seni telah lama melingkari kehidupan
manusia. Karya seni atau hasil tangan manusia dikatakan wujud seawal 40,000
tahun yang lalu pada era Paleolitik. Seni terhasil daripada kreativiti manusia
yang terkesan dengan alam dan budaya sekelilingnya. Sesiapa sahaja yang bernama
insan seni pasti akan sangat sensitif akan budaya sekelilingnya. Setiap karya
seni terhasil daripada pengamatan pengkaryanya yang tajam, halus dan lahir
daripada alam dan budaya sekelilingnya.
Budaya pula jika
ditakrifkan secara mendalam bukan sekadar tingkah laku dan cara kehidupan
manusia sahaja malah ianya jelas satu manifestasi kemajuan pemikiran manusia,
mengajar manusia supaya berbudaya yang terikat dengan adab dan nilai yang baik
dalam kelompoknya, suku kaum dan masyarakat sekelilingnya. Maka jika dikaitkan
budaya dalam konteks seni, ianya merupakan cetusan hasil kreatif ciptaan
manusia yang berupaya mengajar manusia lain berilmu, berfikir, berpengetahuan,
beradab dan dikenali sebagai Seni Berbudaya (Ismail Ahmed, 2013).
Ini kerana seni yang berbudaya secara jelas dan halusnya mengajak manusia atau
khalayak berfikir, berpengetahuan dan berdaya untuk memajukan masyarakat kerana
ilmunya yang bermanfaat. Oleh kerana budaya itu sangat dinamik sifatnya yang
mungkin bersifat positif (memberi manfaat) dan mungkin juga negatif sifatnya
(mendatangkan kemudaratan) kepada masyarakat maka kita diberi akal untuk
berfikir supaya dapat mengadili dengan bijaksana bagaimana menghindari seni
yang tidak memberi manfaat seperti yang sering dihidangkan oleh media barat?
Disinilah hadirnya Islam mengajar dan memberi panduan kepada kita, manusia
ciptaanNya. Firman Allah SWT dalam surah at- Tinn ayat 4 memberitahu bahawa
sesungguhnya manusia adalah ciptaan Allah SWT yang sebaik- baik kejadian.
Manusia diberikan akal yang baik dan sihat dan mampu berfikir dengan kewajaran
yang tinggi. Manusia kreatif atau insan seni sebenarnya merupakan insan yang
dikurniakan Allah SWT bakat yang lahir bersamanya. Bakat yang kemudiannya
diasuh dan diberi pendedahan supaya mengangkat karya seni ketahap yang lebih
tinggi, berestetika yang menjurus kepada memuji Rasulullah dan mengagungkan
Allah SWT pencipta langit dan bumi dan seterusnya memberi manfaat kepada
manusia yang lain.
Persoalannya, bagaimana
seni mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ianya terletak kepada cara kita
menghayati. mendapat inspirasi dan akhirnya menghidangkan kepada khalayak. Seni
dikaitkan dengan keindahan. Maka kita perlu menilai maknawinya dengan ‘world view’ Islam. Memilih seni
perlukan kebijaksanaan kita sebagai manusia sebaik- baik kejadian seperti
ditegaskan dalam Surah at- Tinn. Masyarakat barat tidak pernah mengaitkan seni
dengan keindahan dan kebesaran tuhan. Namun begitu, sesuatu yang menarik adalah
berkaitan pandangan Richard Ettinghausen dalam artikel beliau “al- Ghazzali on
beauty: (21-31) mengenai pandangan Imam Al- Ghazzali berkaitan keindahan:
“The beauty of the outer form which is seen with the bodily
eye can be experienced even by children and animals, … while the beauty of the
inner form can only be perceived by the eye of the ‘heart’ and the light of
inner vision…”
Oleh kerana seni itu akrab
dengan keindahan, maka seni yang dihasilkan dengan ‘world view’ Islam dan ‘dilihat’ dengan mata hati akan mampu
memberi manfaat kepada khalayaknya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sebaik- baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak
manfaatnya bagi orang lain.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka hasil seni yang
berbudaya mampu memanifestasikan seni yang baik dan memberi manfaat kepada manusia lain atau
masyarakat agar mencintai ukhrawi manakala seni yang selain itu adalah sia-
sia, sekadar hiburan dan mencintai duniawi semata- mata. Rumusannya, Seni Berbudaya ini perlu mempunyai tiga
elemen yang terkandung di dalamnya iaitu:
Seni yang menghubungkan dalaman seorang manusia sehingga mampu
merasai hubungan dengan Penciptanya.
Seni yang menelusuri akhlak yang baik dan mewujudkan keseimbangan duniawi dan
ukrawi dan,
Seni yang terkandung nilai- nilai pengajaran
tentang kemanusiaan yang akhirnya
membina tamadun akal khalayaknya.
Seni Berbudaya
Seni Sebagai Satu Anugerah:
Kaitan dengan Sains
Bukan
semua manusia diciptakan dengan kelebihan yang sama. Apatah lagi memiliki bakat
yang merupakan satu anugerah tuhan. Setiap anugerah pastinya mempunyai
kelebihan yang tersendiri dan berupaya memberi manfaat kepada manusia lain
dalam konteks dan cara yang berbeza. Dalam konteks sebuah universiti, seringkali
kita ditanya apakah kaitan seni atau bagaimana seni menyumbang kepada
peningkatan softskills seorang pelajar?
Bagaimana sekumpulan pelajar yang menari
di pentas mampu mengaitkan kebolehan menari dengan softskills misalnya elemen Pemikiran Kritis dan Penyelesaian
Masalah? Jawapannya perlu dijawab dengan bijak oleh para pentadbir seni. Bagi
penulis, selain daripada konsep seni dalam menghayati keindahan tuhan dalam
Islam, sains mungkin mampu menjawab persoalan ini. Seni mempunyai kaitan yang
sangat rapat dengan sains. Sebagai contoh, pengasas Microsoft, Bill Gates
mempunyai apa yang dipanggil inhouse
Orchestra di Microsoft. Inhouse
Orchestra ini menghimpunkan semua staf, spouse
dan juga kontraktor pembekal yang berminat dengan muzik untuk memenuihi
aktiviti mereka dengan seni muzik. Apakah kepentingan untuk mempunyai sebuah inhouse Orchestra didalam sebuah
konglomerat IT terkemuka didunia? Menurut Mayer Spivack (2007);
“There is evidence from nuerological research that
when children involved in art, their mathematical and other thinking skills
improve. Art changes the brain. The making of art is exercise for other
thinking skill. Cousin of mathemathic is music”
Seni mampu merangsang otak manusia menjadi lebih kreatif atau ‘arts help
to improve others thinking skill’. Beliau turut menyatakan bahawa, ‘cousin of mathemathic is music’ atau
dengan kata lain seni muzik merupakan elemen yang boleh membantu menajamkan
kebolehan matematik seseorang. Penemuan ini turut ditegaskan oleh Laurence O’ Donnell dalam Music and the Brain
(2009),
“Music
helped Thomas Jefferson write the Declaration of Independence. When he could
not figure out the right wording for a certain part, he would play his violin to help him. The music helped him get
the words from his brain onto the paper”.
Satu fakta yang jarang diperkatakan ialah sewaktu Albert Einstein
kecil, beliau pernah digelar oleh gurunya sebagai “ too stupid to learn ”. Menurut rakan Einstein iaitu G.J Withrow;
A little known
fact about Einstein is that when he was young he did extremely poor in school.
His grade school teachers told his parents to take him out of school because he was "too stupid to
learn" and it would be a waste of resources for the school to invest
time and energy in his education. The school suggested that his parents get
Albert an easy, manual labor job as soon as they could. His mother did not
think that Albert was "stupid". Instead of following the school's
advice, Albert's parents bought him a
violin. Albert became good at the violin. Music was the key that helped
Albert Einstein become one of the smartest men who has ever lived. Einstein himself says that the reason he
was so smart is because he played the violin. He loved the music of Mozart
and Bach the most. A friend of Einstein, G.J. Withrow, said that the way Einstein figured out his problems
and equations was by improvising on the violin.
Penjelasan dan informasi ini seolah menegaskan bahawa seni mampu
menjadi elemen yang sangat penting dalam membantu meningkatkan kemajuan pelajar
terutamanya dalam aspek softskills.
Oleh kerana itu, jika seni tari dikaitkan dengan softskills, maka jawapannya ialah ‘arts help to improve others
thinking skill’. Bukan itu sahaja dalam sejarah Islam, muzik dan segala jenis peralatan banyak
dihasilkan oleh ilmuwan Islam untuk mengubati mereka yang mengidap penyakit
kejiwaan dan emosi seperti penyakit sukar tidur dan juga penyakit yang berhubung
dengan unsound mind (Mohd Yusof
Hj. Othman, Pengenalan Sains Tauhidik, 2014)
lama sebelum barat memperkenalkan muzik dengan kaedah terapi mereka.
Seni Sebagai Satu Anugerah:
Kaitan dengan Sosial dan Masyarakat
Kebaikan seni muzik dan bidang seni
yang lain bukan sahaja telah dibuat kajian kaitannya dengan sains sahaja malah
juga dalam aspek sosial manusia dan masyarakat.
Menurut John Medina dalam satu latihan kemahiran berbahasa dikalangan
kanak- kanak berusia 10 tahun telah menunjukkan hasil dapatan seperti berikut:
.....who
have been practising musical instrument for at least three years see a boost in
both their vocabulary and nonverbal reasoning skills over children who don’t.
Kids who start music lessons prior to first grade show superior sensory motor
integration when they are adults. Parents starting music lessons before age 7 (John
Medina: Brain Rules 2014).
Dalam satu kajian lain
berkaitan emosi dan respon, John Medina menegaskan bahawa mereka yang terlibat dengan
seni mempunyai perasaan empati iaitu daya menyelami dan memahami perasaan atau
emosi orang lain yang
lebih baik berbanding mereka yang tidak melibatkan aktiviti seni seperti
berikut:
In one study, English speaking musician and nonmusicians heard various
emotions expressed in Tagalog, a philippine language that was foreign to them.
They were ask to identify any emotions they heard. How good were they at
detecting the emotional information in what was being said, even though they
could not understand the words? The results were dramatic. Trained musicians
were better compare to nonmusicians. Musicians were especially good at
discerning sadness and fear. Studies like these laid the groundwork for
demonstrating that music might improve social skills (Brain Rules, 2014).
Masyarakat Malaysia
hari ini juga seringkali mendengar akan perilaku remaja yang semakin tidak
menunjukkan rasa hormat dan simpati kepada permasalahan komuniti dan
masyarakat. Sebagai contoh, baru- baru ini heboh di media sosial berkaitan
pasangan remaja yang duduk didalam sebuah komuter yang bergerak laju tidak
menghiraukan seorang ibu mengandung yang berdiri disebelah mereka. Pasangan
tersebut kelihatannya leka dengan gajet masakini. Apakah pasangan remaja tersebut
kekurangan perasaan empati kepada wanita mengandung tersebut? Bagaimana seni
boleh memainkan peranan dalam pembangunan sosial remaja sebegini sebagai contoh
kes tadi. Menurut John Medina lagi, dalam kajian lain berkaitan tahap kepekaan
emosi kanak- kanak menunjukkan sesuatu yang lebih menarik seperti berikut:
Fifty kids, age 8 – 11, were randomly assigned to one of three groups
(for the an entire academic year).
The first groups took music
classes.
The 2nd groups played
games that also involved imitating
and interactive experiences- but
verbally mostly- no music.
The 3rd groups attended
the regular school year.
The researchers testing the childrens
social skills, such as empathy including Theory of Mind Abilities. The
result shows the first groups who practise music had a stronger ability decode
the emotional information in their social surroundings, both verbally and
nonverbally. Also better at facial expressions and also had more empathetic
responses to artificially posed situations (Brain Rules, 2014:213).
Hasil kajian ini jelas menunjukkan
bahawa kanak- kanak yang dilatih atau diberi pendedahan kepada pengajaran seni
muzik berupaya menjana tahap emosi yang lebih baik dan mewujudkan rasa empati
yang tinggi kepada persekitaran sosialnya dan ini adalah satu perkara yang
positif yang boleh dilakukan oleh pentadbir seni dan rakan- rakan dalam bidang
industri kreatif di Malaysia. Kesan positif sebegini membuktikan bahawa seni
bukanlah tidak memberikan manfaat yang baik kepada masyarakat malah apa yang
disumbangkan dalam konteks seni muzik ini kepada sekumpulan kecil kanak- kanak
tersebut boleh dijadikan ukuran bahawa seni merupakan satu anugerah yang perlu
kita didik dan kawal dalam persekitaran yang baik dan positif.
Penutup : Membina Perspektif Baru Terhadap Seni
Merekonstruktif semula persepsi terhadap seni dan memberi perspektif
baru dapat mengangkasa seni dalam konteks yang lebih positif malah secara
relatifnya mampu membangunkan tahap intelektualiti manusia bukan sahaja dalam
konteks kemanusiaan namun dalam konteks
agama, sosial dan sains. Selain itu, kita harus akui bahawa seni dan
budaya sangat dinamik. Seni dan budaya juga tidak dapat lari daripada mengalami
perubahan dan inovasi. Kitalah yang perlu mengawalselianya agar selari dan
sesuai dengan konsep Seni Berbudaya.
Manusia generasi baru yang mereka gelarkan sebagai X, Y dan bermacam lagi
gelaran dimasa akan datang perlu mempunyai satu bentuk pemikiran yang mampu
menilai seni yang berbudaya dan bukan sekadar melihat sensasi dan persepsi
masyarakat sahaja. Bertambah dangkal jika seni yang dipinjam dari barat sekadar
untuk dinikmati pesonanya. Mencintai seni samada tradisi mahupun kontemporari
amat diperlukan oleh khalayak. Paling penting kesenian harus berperanan besar
dalam mendidik dan menjadikan khalayak berbudaya. Namun janganlah kita
sempitkan Seni Berbudaya itu hanyalah seni nasyid, qasidah dan lain- lain
cabang kesenian timur tengah sahaja. Sebagai contoh kesenian Dikir Barat yang
boleh disaratkan dengan ilmu atau mesej yang mendidik khalayaknya. Pendikir
tersohor seperti Halim Yazid banyak melahirkan karya yang mendidik khalayak
dengan sentuhan kiasan dan makna
tersirat. Menilai karya seperti ini kita perlu kembali melihat keindahan dengan
‘hati’ dan bukan sekadar luaran sahaja seperti yang ditegaskan oleh Imam al-
Ghazzali. Begitu juga lagu- lagu dengan pendekatan kontemporari seperti
Penghujung Rindu oleh Jamal Abdillah yang dicipta oleh komposer terkenal Fauzi
Marzuki dan liriknya oleh Lukhman S. Jika menilai liriknya dengan ‘mata dan
telinga’ sahaja maka kita dengan jelas telah jauh dari menikmati keindahan makna
intrinsiknya. Maka para pentadbir, entiti seni, NGO, karyawan dan pengkarya
seni perlu menghasilkan kreativiti yang mengangkasa Seni Berbudaya.
Sesungguhnya melahirkan Seni Berbudaya itu adalah sebaik- baik hiburan yang sepatutnya
kita nikmati supaya kita sentiasa di rahmati Allah SWT dan meletakkan seni
sebagai medium untuk merasai kewujudanNya, mengimbangi duniawi dan ukhrawi dan
memberi manfaat selain mendidik khalayaknya.
Sekian, Wassalam.
Rujukan
Al- Baghdadi, Abdurrahman, 2005. Seni dalam Islam. Vokal, Muzik dan Tari. Adaptasi oleh Abdul Rahman
Rukaini. Selangor. Synergymate Sdn Bhd.
Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1981. Fine Arts in Islamic
Civilizaton.Perpustakaan Negara Malaysia.
Swanwick,
Keith.1998. Music, Mind, and Education. Routledge
London.
Mohd Nasir Omar.2010. Falsafah
Akhlak. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
John
Medina.2014. Brain Rules. Pear Press. United States Of America.
Mohd Yusof Hj.
Othman. 2014. Pengenalan Sains Tauhidik. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lukmanul Hakim Hanafi, Raja Raziff Raja
Sharuddin.2009. Hiburan: Muzik, Nyanyian, Nasyid Menurut Perspektif Fiqh dan
Fatwa.Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol.3, 2014.
Derrick Chong. 2010. Arts Management. Routledge, New
York. ISBN10: 0-415-42390-2 (hbk).
Habib Hassan Touma. 1996.
The Music Of The Arabs. New Expanded Edition. Translated by Laurie Schwarts,
Reinhard G. Pauly. Amadeus Press. Portland, Oregon USA.
http://www.cerebromente.org.br/n15/mente/musica.html
http:// prpm.dbp.gov.my
Edited by Muhammad Abdul
Jabbar Beg. 1981. Fine Arts In Islamic Civilization. Universiti Malaya.