Monday, 24 August 2015

Sidang Ilmu Pusat Kebudayaan USIM 2015


Sidang Ilmu Pusat Kebudayaan USIM 2015




SEMPENA WACANA PENCERAHAN GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM 2015



Text Box: MEREKONSTRUKTIF PERSEPSI: 
SENI MEMBANGUNKAN INTELEKTUALITI  MANUSIA



Oleh:
Ismail Ahmed
Pengarah Pusat Kebudayaan
Universit Sains Islam Malaysia



Kertas Kerja









Sidang Ilmu Pusat Kebudayaan USIM 2015


SEMPENA WACANA PENCERAHAN GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM 2015


MEREKONSTRUKTIF PERSEPSI: SENI MEMBANGUNKAN INTELEKTUALITI MANUSIA


Oleh:

Ismail Ahmed

Pengarah Pusat Kebudayaan

Universit Sains Islam Malaysia

 



       

Pengenalan Kepada Perspektif : Seni Dalam Konteks Hiburan

Dalam masyarakat Islam samada di tanah Arab mahupun di Malaysia, apabila ditafsirkan hiburan maka bidang atau disiplin yang selalu dirujuk adalah nyanyian, tarian dan muzik. Walaupun hiburan mempunyai konteks yang luas, namun kaitan bidang lain yang juga merujuk kepada elemen hiburan agak kurang diendahkan dan selalunya terarah kepada muzik, tarian dan nyanyian. Namun sejak akhir- akhir ini, seni visual juga mula dirangkum sekali dalam konteks makna hiburan. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, definisi hiburan bermaksud sesuatu perkara atau perlakuan yang menggembirakan atau menghiburkan hati manusia. Konteks hiburan sangat luas meliputi banyak perkara dan perbuatan yang lain seperti memandu dengan laju, berlumba di jalanraya, berburu binatang hatta menonton perlawanan bolasepak yang sering ke udara di televisyen atau apa saja perbuatan yang membuatkan hati kita teruja dan terhibur. Persoalannya mengapakah apabila merujuk kepada perbuatan yang sia- sia dan lalai maka hiburan ditujukan hanya kepada nyanyian, tarian dan muzik ? Penjelasan bagaimana bermulanya persepsi ini mungkin kita boleh mengaitkannya dengan perspektif apa yang dipanggil ‘arabisasi’ atau pengaruh arab yang membayangi persepsi makna hiburan itu sendiri.

Pada zaman pra- Islam sekitar 632 selepas Masihi, bangsa Arab yang dikenali sebagai Arab Jahiliyyah telah mempunyai satu bentuk sistem berhibur yang kebanyakkannya tertumpu di Semenanjung Arab. Petikan di dalam buku The Music of the Arabs menjelaskan:

The musical life of the jahiliyyah was defined by the qaynah, a singer and servant in one, whose duties, besides singing and performing, also included pouring wine and providing others sensual pleasures.The task of the qaynah was to entertain the guest with song, wine, and eroticism (Habib Hassan Touma,1996:2).  


Hiburan pada zaman Arab Jahiliyyah yang terkenal di kota Mecca, Medina, Yamamah, Yemen dan Hadramaut ini juga menurut Habib Hassan Touma lagi, menunjukkan bahawa qaynah mempunyai ‘kelebihan lain’ yang boleh ditafsirkan seperti berikut:


Her naked breast were open to the glances of guests, and she was also receptive to the more direct advances of her customers (1996:2).


Budaya Arab Jahiliyyah yang mengangkat hiburan dalam bentuk pengisian yang penuh dengan cara yang mencampurkan-adukkan banyak elemen negatif seperti tarian yang memberahikan, suara nyanyian perempuan yang bertujuan menggoda dan membangkitkan nafsu, percampuran lelaki perempuan yang bebas dan melampau dan disulami dengan arak dan sebagainya telah menimbulkan persepsi yang tidak sihat terhadap seni khususnya dalam bidang nyanyian, muzik dan tarian.  Imam Malik bin Anas r.a: menegaskan, beliau melarang nyanyian dan mendengar lagu, katanya:

  

“Apabila seseorang membeli hamba sahaya perempuan dan mendapatinya seorang penyanyi, dia boleh memulangkannya kerana dianggap cacat” (Ibnu al- Jawzi, t.th:229).


Jika diamati, kita dapat melihat mengapakah persepsi terhadap seni muzik, nyanyian dan juga tarian sangat negatif dikalangan sebahagian para ulama dan masyarakat Islam termasuk di Malaysia.  Persoalannya, adakah agama Islam itu menolak muzik, nyanyian dan tarian atau sebenarnya Islam mengajak kita menolak budaya negatif yang disuntik kedalam elemen hiburan tersebut mengikut budaya sesuatu etnik dan persekitaran setempat seperti zaman Arab Jahiliyyah? Atau adakah adil jika kita menyamakan persembahan kesenian tradisional atau pelbagai kaum di universiti atau di Malaysia dengan festival liar atau majlis hiburan arab jahiliyyah?

Menurut Imam al- Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum al- Din, beliau menjelaskan bahawa tidak ada keterangan yang jelas daripada Sunnah Rasululah SAW yang melarang penggunaan alat- alat muzik. Kalimah muzik misalnya tidak dapat ditemui di dalam Al- Quran dam al- Hadith, walaupun Allah menceritakan di dalam al- Quran kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S yang memiliki mukjizat yang berkaitan seni suara, namun istilah muzik gagal ditemui di dalam al- Quran. Persoalannya, mengapakah kita sangat sensitif untuk mengharamkan seni muzik, nyanyian dan tarian, sedangkan yang salah dan melalaikan kita adalah perlakuan dan pengisian yang kita pilih? Merujuk kepada Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Vol. 3: 2014, dalam artikel yang bertajuk Hiburan: Muzik, Nyanyian, Nasyid Menurut Perspektif Fiqh dan Fatwa 2009:88, Islam telah pun sempurna dan syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah pun selesai menentukan segala persoalan hukum tanpa perlu ditambah oleh sesiapa pun walaupun para ulama. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:


“ Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada- adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya” (an- Nahl:116).


Maka, dalam konteks seni sperti muzik, tarian dan nyanyian, tiada sesiapa yang dapat menentukannya hukumnya baik halal mahupun haram secara terburu- buru melainkan setelah menilai secara ilmiah hujah- hujah dan dalil- dalil disamping melihat kandungan dan penyampaian seni tersebut samada membawa kebaikan atau keburukan. 



Mengangkasa Seni Berbudaya

Hari ini dengan pelbagai cabaran yang lahir daripada cabang seni, bolehkah kita selaku pentadbir seni menyakinkan masyarakat bahawa seni yang melingkari kamus maknawi kehidupan berupaya menjadikan kita insan yang lebih mensyukuri dan memahami kepentingan seni dalam kehidupan manusia. Pengertian seni yang sepatutnya dijulang makna intrinsiknya dan bukan sekadar rupa tanpa nama atau sekadar penilaian gemilang suapan ekstrinsik sahaja. Apakah komuniti kampus dan  masyarakat Malaysia mempunyai pengetahuan tentang peri pentingnya seni yang berbudaya atau ringkasnya seni yang mendatangkan manfaat kepada seluruh penggerak, khalayak, pekerja seni, masyarakat dan entiti- entiti yang bertanggungjawab sepenuhnya akan perjalanan seni di Malaysia. Seni yang berupaya membina akar kepada akal yang bergeliga sehingga mampu menukar yang kosong kepada pengisian dalaman seorang manusia sehingga mampu merasai hubungan dengan Penciptanya. Seni yang menelusuri akhlak yang baik dan membetulkan makna duniawi dengan menyeimbangkan pelaburan ukhrawi. Seni yang mampu mengangkasa sifat- sifat baik yang didalamnya terkandung segala intipati pengajaran tentang  kemanusiaan yang akhirnya membina tamadun akal khalayaknya.

Kita perlu mengenali seni dalam konteks budaya yang baik sifatnya. Seni secara definasinya merupakan karya atau hasil kreatif yang dicipta dengan keindahannya yang tersendiri dengan disiplin- disiplin kreatif yang berbagai antaranya seperti seni persembahan, seni tampak dan seni halus.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,  karya seni ialah sesuatu ciptaan yg mempunyai nilai keindahan dan memberikan kepuasan cita rasa kepada khalayaknya. Seni yang mempunyai nilai ilmu yang boleh membangunkan akal budi khalayaknya. Sebenarnya, hasil seni telah lama melingkari kehidupan manusia. Karya seni atau hasil tangan manusia dikatakan wujud seawal 40,000 tahun yang lalu pada era Paleolitik. Seni terhasil daripada kreativiti manusia yang terkesan dengan alam dan budaya sekelilingnya. Sesiapa sahaja yang bernama insan seni pasti akan sangat sensitif akan budaya sekelilingnya. Setiap karya seni terhasil daripada pengamatan pengkaryanya yang tajam, halus dan lahir daripada alam dan budaya sekelilingnya.

Budaya pula jika ditakrifkan secara mendalam bukan sekadar tingkah laku dan cara kehidupan manusia sahaja malah ianya jelas satu manifestasi kemajuan pemikiran manusia, mengajar manusia supaya berbudaya yang terikat dengan adab dan nilai yang baik dalam kelompoknya, suku kaum dan masyarakat sekelilingnya. Maka jika dikaitkan budaya dalam konteks seni, ianya merupakan cetusan hasil kreatif ciptaan manusia yang berupaya mengajar manusia lain berilmu, berfikir, berpengetahuan, beradab  dan dikenali sebagai Seni Berbudaya (Ismail Ahmed, 2013). Ini kerana seni yang berbudaya secara jelas dan halusnya mengajak manusia atau khalayak berfikir, berpengetahuan dan berdaya untuk memajukan masyarakat kerana ilmunya yang bermanfaat. Oleh kerana budaya itu sangat dinamik sifatnya yang mungkin bersifat positif (memberi manfaat) dan mungkin juga negatif sifatnya (mendatangkan kemudaratan) kepada masyarakat maka kita diberi akal untuk berfikir supaya dapat mengadili dengan bijaksana bagaimana menghindari seni yang tidak memberi manfaat seperti yang sering dihidangkan oleh media barat? Disinilah hadirnya Islam mengajar dan memberi panduan kepada kita, manusia ciptaanNya. Firman Allah SWT dalam surah at- Tinn ayat 4 memberitahu bahawa sesungguhnya manusia adalah ciptaan Allah SWT yang sebaik- baik kejadian. Manusia diberikan akal yang baik dan sihat dan mampu berfikir dengan kewajaran yang tinggi. Manusia kreatif atau insan seni sebenarnya merupakan insan yang dikurniakan Allah SWT bakat yang lahir bersamanya. Bakat yang kemudiannya diasuh dan diberi pendedahan supaya mengangkat karya seni ketahap yang lebih tinggi, berestetika yang menjurus kepada memuji Rasulullah dan mengagungkan Allah SWT pencipta langit dan bumi dan seterusnya memberi manfaat kepada manusia yang lain.   

Persoalannya, bagaimana seni mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ianya terletak kepada cara kita menghayati. mendapat inspirasi dan akhirnya menghidangkan kepada khalayak. Seni dikaitkan dengan keindahan. Maka kita perlu menilai maknawinya dengan ‘world view’ Islam. Memilih seni perlukan kebijaksanaan kita sebagai manusia sebaik- baik kejadian seperti ditegaskan dalam Surah at- Tinn. Masyarakat barat tidak pernah mengaitkan seni dengan keindahan dan kebesaran tuhan. Namun begitu, sesuatu yang menarik adalah berkaitan pandangan Richard Ettinghausen dalam artikel beliau “al- Ghazzali on beauty: (21-31) mengenai pandangan Imam Al- Ghazzali berkaitan keindahan: 


“The beauty of the outer form which is seen with the bodily eye can be experienced even by children and animals, … while the beauty of the inner form can only be perceived by the eye of the ‘heart’ and the light of inner vision…”


Oleh kerana seni itu akrab dengan keindahan, maka seni yang dihasilkan dengan ‘world view’ Islam dan ‘dilihat’ dengan mata hati akan mampu memberi manfaat kepada khalayaknya. Rasulullah SAW pernah bersabda:


“Sebaik- baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


Maka hasil seni yang berbudaya mampu memanifestasikan seni yang baik dan  memberi manfaat kepada manusia lain atau masyarakat agar mencintai ukhrawi manakala seni yang selain itu adalah sia- sia, sekadar hiburan dan mencintai duniawi semata- mata. Rumusannya, Seni Berbudaya ini perlu mempunyai tiga elemen yang terkandung di dalamnya iaitu:

  • Seni yang menghubungkan  dalaman seorang manusia sehingga mampu merasai hubungan dengan Penciptanya.
  • Seni yang menelusuri akhlak yang baik  dan mewujudkan keseimbangan duniawi dan ukrawi dan,
  • Seni yang terkandung nilai- nilai pengajaran tentang  kemanusiaan yang akhirnya membina tamadun akal khalayaknya.
    Seni Berbudaya
    Seni Sebagai Satu Anugerah: Kaitan dengan Sains

Bukan semua manusia diciptakan dengan kelebihan yang sama. Apatah lagi memiliki bakat yang merupakan satu anugerah tuhan. Setiap anugerah pastinya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan berupaya memberi manfaat kepada manusia lain dalam konteks dan cara yang berbeza. Dalam konteks sebuah universiti, seringkali kita ditanya apakah kaitan seni atau bagaimana seni menyumbang kepada peningkatan softskills seorang pelajar?  Bagaimana sekumpulan pelajar yang menari di pentas mampu mengaitkan kebolehan menari dengan softskills misalnya elemen Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah? Jawapannya perlu dijawab dengan bijak oleh para pentadbir seni. Bagi penulis, selain daripada konsep seni dalam menghayati keindahan tuhan dalam Islam, sains mungkin mampu menjawab persoalan ini. Seni mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan sains. Sebagai contoh, pengasas Microsoft, Bill Gates mempunyai apa yang dipanggil inhouse Orchestra di Microsoft. Inhouse Orchestra ini menghimpunkan semua staf, spouse dan juga kontraktor pembekal yang berminat dengan muzik untuk memenuihi aktiviti mereka dengan seni muzik. Apakah kepentingan untuk mempunyai sebuah inhouse Orchestra didalam sebuah konglomerat IT terkemuka didunia? Menurut Mayer Spivack (2007);

“There is evidence from nuerological research that when children involved in art, their mathematical and other thinking skills improve. Art changes the brain. The making of art is exercise for other thinking skill. Cousin of mathemathic is music”


Seni mampu merangsang otak manusia menjadi lebih kreatif atau ‘arts help to improve others thinking skill’. Beliau turut menyatakan bahawa, ‘cousin of mathemathic is music’ atau dengan kata lain seni muzik merupakan elemen yang boleh membantu menajamkan kebolehan matematik seseorang. Penemuan ini turut ditegaskan oleh  Laurence O’ Donnell dalam Music and the Brain (2009),

“Music helped Thomas Jefferson write the Declaration of Independence. When he could not figure out the right wording for a certain part, he would play his violin to help him. The music helped him get the words from his brain onto the paper”.

Satu fakta yang jarang diperkatakan ialah sewaktu Albert Einstein kecil, beliau pernah digelar oleh gurunya sebagai “ too stupid to learn ”. Menurut rakan Einstein iaitu G.J Withrow;

A little known fact about Einstein is that when he was young he did extremely poor in school. His grade school teachers told his parents to take him out of school because he was "too stupid to learn" and it would be a waste of resources for the school to invest time and energy in his education. The school suggested that his parents get Albert an easy, manual labor job as soon as they could. His mother did not think that Albert was "stupid". Instead of following the school's advice, Albert's parents bought him a violin. Albert became good at the violin. Music was the key that helped Albert Einstein become one of the smartest men who has ever lived. Einstein himself says that the reason he was so smart is because he played the violin. He loved the music of Mozart and Bach the most. A friend of Einstein, G.J. Withrow, said that the way Einstein figured out his problems and equations was by improvising on the violin.


Penjelasan dan informasi ini seolah menegaskan bahawa seni mampu menjadi elemen yang sangat penting dalam membantu meningkatkan kemajuan pelajar terutamanya dalam aspek softskills. Oleh kerana itu, jika seni tari dikaitkan dengan softskills, maka jawapannya ialah ‘arts help to improve others thinking skill’. Bukan itu sahaja dalam sejarah Islam, muzik dan segala jenis peralatan banyak dihasilkan oleh ilmuwan Islam untuk mengubati mereka yang mengidap penyakit kejiwaan dan emosi seperti penyakit sukar tidur dan juga penyakit yang berhubung dengan unsound mind (Mohd Yusof  Hj. Othman, Pengenalan Sains Tauhidik, 2014) lama sebelum barat memperkenalkan muzik dengan kaedah terapi mereka.


Seni Sebagai Satu Anugerah: Kaitan dengan Sosial dan Masyarakat

Kebaikan seni muzik dan bidang seni yang lain bukan sahaja telah dibuat kajian kaitannya dengan sains sahaja malah juga dalam aspek sosial manusia dan masyarakat.  Menurut John Medina dalam satu latihan kemahiran berbahasa dikalangan kanak- kanak berusia 10 tahun telah menunjukkan hasil dapatan seperti berikut:


.....who have been practising musical instrument for at least three years see a boost in both their vocabulary and nonverbal reasoning skills over children who don’t. Kids who start music lessons prior to first grade show superior sensory motor integration when they are adults. Parents starting music lessons before age 7 (John Medina: Brain Rules 2014).


Dalam satu kajian lain berkaitan emosi dan respon, John Medina menegaskan bahawa mereka yang terlibat dengan seni mempunyai  perasaan empati iaitu daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melibatkan aktiviti seni seperti berikut:  


In one study, English speaking musician and nonmusicians heard various emotions expressed in Tagalog, a philippine language that was foreign to them. They were ask to identify any emotions they heard. How good were they at detecting the emotional information in what was being said, even though they could not understand the words? The results were dramatic. Trained musicians were better compare to nonmusicians. Musicians were especially good at discerning sadness and fear. Studies like these laid the groundwork for demonstrating that music might improve social skills (Brain Rules, 2014).


Masyarakat Malaysia hari ini juga seringkali mendengar akan perilaku remaja yang semakin tidak menunjukkan rasa hormat dan simpati kepada permasalahan komuniti dan masyarakat. Sebagai contoh, baru- baru ini heboh di media sosial berkaitan pasangan remaja yang duduk didalam sebuah komuter yang bergerak laju tidak menghiraukan seorang ibu mengandung yang berdiri disebelah mereka. Pasangan tersebut kelihatannya leka dengan gajet masakini. Apakah pasangan remaja tersebut kekurangan perasaan empati kepada wanita mengandung tersebut? Bagaimana seni boleh memainkan peranan dalam pembangunan sosial remaja sebegini sebagai contoh kes tadi. Menurut John Medina lagi, dalam kajian lain berkaitan tahap kepekaan emosi kanak- kanak menunjukkan sesuatu yang lebih menarik seperti berikut:  


Fifty kids, age 8 – 11, were randomly assigned to one of three groups (for the an entire academic year).

  • The first groups took music classes.
  • The 2nd groups played games that also involved imitating       
    and interactive experiences- but verbally mostly- no music.
  • The 3rd groups attended the regular school year.
    The researchers testing the childrens  social skills, such as empathy including Theory of Mind Abilities. The result shows the first groups who practise music had a stronger ability decode the emotional information in their social surroundings, both verbally and nonverbally. Also better at facial expressions and also had more empathetic responses to artificially posed situations (Brain Rules, 2014:213).
    Hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa kanak- kanak yang dilatih atau diberi pendedahan kepada pengajaran seni muzik berupaya menjana tahap emosi yang lebih baik dan mewujudkan rasa empati yang tinggi kepada persekitaran sosialnya dan ini adalah satu perkara yang positif yang boleh dilakukan oleh pentadbir seni dan rakan- rakan dalam bidang industri kreatif di Malaysia. Kesan positif sebegini membuktikan bahawa seni bukanlah tidak memberikan manfaat yang baik kepada masyarakat malah apa yang disumbangkan dalam konteks seni muzik ini kepada sekumpulan kecil kanak- kanak tersebut boleh dijadikan ukuran bahawa seni merupakan satu anugerah yang perlu kita didik dan kawal dalam persekitaran yang baik dan positif.
    Penutup : Membina Perspektif Baru Terhadap Seni
    Merekonstruktif semula persepsi terhadap seni dan memberi perspektif baru dapat mengangkasa seni dalam konteks yang lebih positif malah secara relatifnya mampu membangunkan tahap intelektualiti manusia bukan sahaja dalam konteks kemanusiaan namun dalam konteks  agama, sosial dan sains. Selain itu, kita harus akui bahawa seni dan budaya sangat dinamik. Seni dan budaya juga tidak dapat lari daripada mengalami perubahan dan inovasi. Kitalah yang perlu mengawalselianya agar selari dan sesuai dengan konsep Seni Berbudaya. Manusia generasi baru yang mereka gelarkan sebagai X, Y dan bermacam lagi gelaran dimasa akan datang perlu mempunyai satu bentuk pemikiran yang mampu menilai seni yang berbudaya dan bukan sekadar melihat sensasi dan persepsi masyarakat sahaja. Bertambah dangkal jika seni yang dipinjam dari barat sekadar untuk dinikmati pesonanya. Mencintai seni samada tradisi mahupun kontemporari amat diperlukan oleh khalayak. Paling penting kesenian harus berperanan besar dalam mendidik dan menjadikan khalayak berbudaya. Namun janganlah kita sempitkan Seni Berbudaya itu hanyalah seni nasyid, qasidah dan lain- lain cabang kesenian timur tengah sahaja. Sebagai contoh kesenian Dikir Barat yang boleh disaratkan dengan ilmu atau mesej yang mendidik khalayaknya. Pendikir tersohor seperti Halim Yazid banyak melahirkan karya yang mendidik khalayak dengan  sentuhan kiasan dan makna tersirat. Menilai karya seperti ini kita perlu kembali melihat keindahan dengan ‘hati’ dan bukan sekadar luaran sahaja seperti yang ditegaskan oleh Imam al- Ghazzali. Begitu juga lagu- lagu dengan pendekatan kontemporari seperti Penghujung Rindu oleh Jamal Abdillah yang dicipta oleh komposer terkenal Fauzi Marzuki dan liriknya oleh Lukhman S. Jika menilai liriknya dengan ‘mata dan telinga’ sahaja maka kita dengan jelas telah jauh dari menikmati keindahan makna intrinsiknya. Maka para pentadbir, entiti seni, NGO, karyawan dan pengkarya seni perlu menghasilkan kreativiti yang mengangkasa Seni Berbudaya. Sesungguhnya melahirkan Seni Berbudaya itu adalah sebaik- baik hiburan yang sepatutnya kita nikmati supaya kita sentiasa di rahmati Allah SWT dan meletakkan seni sebagai medium untuk merasai kewujudanNya, mengimbangi duniawi dan ukhrawi dan memberi manfaat selain mendidik khalayaknya.
    Sekian, Wassalam.
    Rujukan
    Al- Baghdadi, Abdurrahman, 2005. Seni dalam Islam. Vokal, Muzik dan Tari. Adaptasi oleh Abdul Rahman Rukaini. Selangor. Synergymate Sdn Bhd.
    Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1981. Fine Arts in Islamic Civilizaton.Perpustakaan Negara Malaysia.
    Swanwick, Keith.1998. Music, Mind, and Education. Routledge London.
    Mohd Nasir Omar.2010. Falsafah Akhlak. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
    John Medina.2014. Brain Rules. Pear Press. United States Of America.
    Mohd Yusof Hj. Othman. 2014. Pengenalan Sains Tauhidik. Dewan Bahasa dan Pustaka.
    Lukmanul Hakim Hanafi, Raja Raziff Raja Sharuddin.2009. Hiburan: Muzik, Nyanyian, Nasyid Menurut Perspektif Fiqh dan Fatwa.Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Vol.3, 2014.
    Derrick Chong. 2010. Arts Management. Routledge, New York. ISBN10: 0-415-42390-2 (hbk).
    Habib Hassan Touma. 1996. The Music Of The Arabs. New Expanded Edition. Translated by Laurie Schwarts, Reinhard G. Pauly. Amadeus Press. Portland, Oregon USA.
    http://www.cerebromente.org.br/n15/mente/musica.html
    http:// prpm.dbp.gov.my
    Edited by Muhammad Abdul Jabbar Beg. 1981. Fine Arts In Islamic Civilization. Universiti Malaya.

0 comments:

Post a Comment